ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima pada Majlis Serahan Bantuan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada 49 mangsa ribut di Pusat Khidmat Rakyat DUN Meru, Taman Saujana Meru, Klang pada 13 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

MBI agih tunai bantu 49 mangsa ribut di Meru

KLANG, 13 DIS: Seramai 49 mangsa ribut sekitar pekan Meru pada Jun lalu menerima bantuan tunai RM300 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini.

Wakil rakyat Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata sumbangan mencecah RM15,000 mampu mengurangkan beban mangsa selepas mengeluarkan kos membaik pulih rumah.

“Kebanyakan mangsa merupakan golongan berpendapatan rendah (B40). Jadi mereka perlu dibantu supaya tidak merasa terbeban dengan kejadian yang menimpa,” katanya selepas menyerahkan bantuan berkenaan.

Turut hadir pemangku Eksekutif Kanan Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Nurul Hani Nadira.

Mohd Fakhrulrazi berkata pihaknya sebelum ini membelanjakan RM20,000 bagi membaiki segera kerosakan rumah berikutan mangsa memerlukan tempat berteduh.

“Pada masa sama kita turut bantu menerusi tabung bencana daerah. Semua mangsa menerima bantuan berbeza mengikut kerosakan dialami,” katanya lagi.

Kejadian pada 17 Jun lalu merosakkan hampir 80 kediaman sekitar Jalan Jambu, Taman Meru 3, Taman Desa Permai, Jalan Hamzah Alang, Kampung Budiman, Jalan Nanas dan Jalan Limau pada Jun.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.


Pengarang :