Anggota MBSA, ATM, TUDM, polis, JBPM, Jais, petugas Istana Negara dan sukarelawan pada 25 Disember 2021 bertungkus-lumus membersihkan kawasan Masjid Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang terjejas akibat banjir. Foto Twitter MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA, MPAJ dan MPKS giat bersih kawasan terjejas banjir

SHAH ALAM, 25 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) giat menjalankan kerja pembersihan di kawasan masing-masing yang terjejas banjir minggu lalu.

Menerusi Twitter, MBSA memaklumkan aktiviti pembersihan pascabanjir dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi seperti di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22 di sini melibatkan petugas jabatan landskapnya dan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Manakala pembersihan di Masjid Sri Muda, Seksyen 25 pula dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), petugas Istana Negara serta sukarelawan.

Di Bukit Lanchong, Seksyen 28, MBSA memberitahu kerja berkaitan dibantu petugas Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan KDEBWM.

Inisiatif sama dijalankan MPAJ di Sungai Lui, Hulu Langat dianggotai 40 sukarelawan terdiri daripada penguat kuasa dan kakitangan.

Pegawai Komunikasi Korporatnya Norhayati Ahmad berkata misi bantuan terbabit menumpukan Sekolah Rendah Agama Sungai Lui, Madrasatul Hassanah Sungai Lui dan Masjid Batu 14, Hulu Langat.

Sukarelawan MPAJ pada 24 Disember 2021 berganding bahu membersihkan kawasan Sekolah Rendah Agama Sungai Lui, Hulu Langat yang terjejas banjir. Foto MPAJ

“Mereka mengeluarkan karpet yang basah dan membersihkan lumpur dalam kawasan masjid,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, MPKS memaklumkan kerja pembersihan dijalankan di 10 rumah penduduk sekitar Taman Suloh Bestari, Bestari Jaya termasuk sebuah dewan.

Seramai 100 kakitangan diketuai Yang Dipertua Rahilah Rahmat dan Setiausaha Yusli Askandar dikerah bagi melancarkan proses pembersihan tersebut.

“Aset MPKS turut digerakkan seperti alatan pembersihan, ‘waterjet’ dan ‘backhoe’ serta tong Roll On Roll Off (RoRo) untuk melicinkan proses pembersihan,” katanya menerusi Facebook.

Sukarelawan MPKS pada 24 Disember 2021 membersihkan kediaman penduduk terjejas banjir di Taman Suloh Bestari, Bestari Jaya, Kuala Selangor. Foto Facebook MPKS

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.


Pengarang :