Timbalan Datuk Bandar MBSJ Mohd Zulkurnain Che Ali (kiri) bersama agensi dan sukarelawan yang bersama menguruskan pusat pemindahan sementara yang menempatkan mangsa banjir. Foto ihsan MBSJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ hargai sukarelawan bantu urus pusat pemindahan banjir

SHAH ALAM, 28 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menghargai bantuan sukarelawan menguruskan bersama 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan pentadbirannya.

Timbalan Datuk Bandar turut berterima kasih kepada pihak yang menjaga kebajikan lebih 5,000 mangsa banjir dan menyeru komitmen itu diteruskan hingga keadaan pulih semula.

“Sesungguhnya dalam mengurus bersama PPS ini amat menuntut pengorbanan, keikhlasan semua sukarelawan dan petugas daripada pelbagai agensi.

“Pengorbanan tanpa mengira penat lelah, masa, tenaga, wang ringgit amatlah dihargai dan kepada Allah kita pohon rahmat yang berterusan,” kata Mohd Zulkurnain Che Ali dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata PPS Sekolah Menengah Kebangsaan USJ23 menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 648 orang, selain membantu menguruskan penempatan di dewan serbaguna, sekolah, masjid dan surau.

Mohd Zulkurnain menambah agihan barangan sumbangan juga dibuat secara adil mengikut tatacara ditetapkan secara telus dan tanpa diskriminasi.

“Tidak timbul isu menidakkan hak kepada semua banjir. MBSJ bersama petugas agensi berkaitan dan sukarelawan sedaya upaya membantu tanpa pilih kasih dan menjaga kebajikan lain,” katanya.


Pengarang :