Sebahagian mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya menerima bantuan barangan asas, baru-baru ini. Foto Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya
PBTSELANGOR

MBSJ lulus RM500,000 urus bantuan banjir, baiki infrastruktur

SUBANG, 29 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meluluskan peruntukan segera RM500,000 untuk menguruskan bencana banjir dan membaiki infrastruktur terjejas.

Datuk Bandarnya berkata perbelanjaan itu antaranya meliputi penyediaan barang keperluan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) dan makanan kepada sukarelawan.

Menurut Noraini Roslan, sebanyak RM8,000 turut diagihkan kepada sekolah dijadikan PPS, RM10,000 kepada masjid dan RM5,000 untuk surau melaksanakan pembaikan segera.

“Kita mempunyai peruntukan RM1.59 juta untuk pengurusan bencana dan perbelanjaan luar jangka selain
Tabung Amanah MBSJ dengan RM69,000 dibelanjakan bagi membantu kakitangan terjejas banjir,” katanya.

Bercakap pada mesyuarat penuh MBSJ secara hibrid hari ini, katanya, keperluan asas turut diagihkan ke pusat operasi Kampung Tengah, Kampung Kenangan, Kampung Seri Aman dan Bukit Lanchong.

Jelasnya, perbelanjaan juga meliputi sewaan jentera untuk menguruskan sisa sampah banjir dan pembaikan segera infrastruktur seperti jalan raya bernilai RM150,000 dan RM120,000 untuk saliran.

Dalam pada itu, Noraini berkata MBSJ akan mendapatkan bantuan pakar untuk mengenal pasti penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir dengan kos berpatutan.

“Kerajaan Negeri minta untuk membaiki kunci air bernilai RM30 juta dan RM15 juta bagi saliran, ini perlu dikaji kerana perkembangan semasa dan selepas banjir berbeza.

“Mungkin boleh melambatkan aliran air di peringkat hulu ke bawah dengan kos lebih rendah,” katanya lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.


Pengarang :