Kelihatan pintu kedai serbaneka yang pecah ketika tinjauan banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Moratorium dua bulan legakan usahawan Hijrah

SHAH ALAM, 22 DIS: Usahawan Hijrah Selangor menyambut baik pengumuman penangguhan bayaran balik pinjaman selama dua bulan kepada peminjam yang terkesan akibat banjir.

Pengusaha perniagaan alat ganti suspensi kereta, Rosniza Rohani, 44, bekata, langkah Kerajaan Negeri itu melegakan kerana mengurangkan tekanan perbelanjaan semasa proses memulihkan perniagaan.

“Walaupun kedai saya tak kena banjir tetapi terjejas teruk juga kerana semua pekerja untuk kerja-kerja pemasangan alat ganti terperangkap dalam banjir.

“Kesemua mereka saya berikan cuti bergaji, bantuan ihsan kewangan dan gaji diawalkan untuk ringankan beban mereka,” katanya ketika dihubungi Selangorkini, di sini, hari ini.

Pemilik perusahaan kuih kapit, Shafinaz Ainaa Muslim, 36 pula menyifatkan keputusan memberi moratorium itu pasti memberi kelegaan kepada usahawan Hijrah yang terjejas akibat banjir.

“Saya cukup faham perasaan mereka bila dengar pengumuman seperti ini kerana saya pun pernah lalui detik sukar apatah lagi peminjam yang terlibat banjir ini.

“Ada antara mereka kerugian berpuluh ribu dan ini sangat membantu mereka,” katanya yang pernah menerima Anugerah Usahawan Sukses Hijrah Selangor.

Pada 21 Disember, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penangguhan bayaran pinjaman selama dua bulan kepada usahawan Hijrah Selangor yang terjejas dengan kesan kewangan RM15 juta.


Pengarang :