Kakitangan dan sukarelawan MPS membersihkan kediaman penduduk sekitar Seksyen 19, Shah Alam dan Kampung Lanchong, Subang Jaya yang terjejas banjir. Foto Facebook Majlis Perbandaran Selayang
PBTSELANGOR

MPS gerak staf, jentera bersihkan kawasan banjir sejak Isnin

SHAH ALAM, 23 DIS: Kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membantu membersihkan kawasan terjejas banjir sekitar Shah Alam dan Subang Jaya sejak 20 Disember.

Timbalan Pengarah Hal Ehwal Korporatnya Ahmad Fauzi Ishak berkata misi bantuan selama lima hari hingga esok turut membabitkan 200 sukarelawan.

Jelasnya, sebanyak 25 lori tangki dan kompaktor, trak tunda, kenderaan pacuan empat roda serta bas turut digerakkan bagi melancarkan kerja pembersihan.

“MPS berharap bantuan kecil ini sedikit sebanyak meringankan beban mangsa yang terjejas akibat bencana banjir,” katanya menambah tempoh misi bantuan bakal dilanjut jika diperlukan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.


Pengarang :