Ketua Hakim Syarie Selangor Dato’ Mohammad Adib Husain (kanan) ketika sidang media selepas melancarkan Komuniti Sulh dan Rakan BSK 2021 di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), Shah Alam pada 14 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mula dapat permohonan sekat akaun bank suami gagal bayar nafkah

SHAH ALAM, 15 DIS: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) mula menerima permohonan bagi menyekat akaun bank suami dan bekas suami yang culas memberi nafkah.

Ketua Hakim Syarie Dato’ Mohammad Adib Husain berkata kurang daripada 10 permohonan diterima sejak arahan itu dikuat kuasa Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bulan lalu.

Beliau berkata golongan isteri yang menghadapi masalah hadir ke mahkamah dan merujuk kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) untuk urusan dokumen termasuk akaun bank suami.

“Kita berharap ini menyedarkan bapa atau waris supaya bertanggungjawab memberi nafkah walaupun selepas penceraian,” katanya pada Majlis Pelancaran Komuniti Sulh dan BSK di sini semalam.

Sementara itu, Mohammad Adib berkata lebih 2,000 permohonan bantuan diterima pihaknya berikutan kegagalan suami membayar nafkah, namun sekitar 300 sahaja diluluskan.

Sebelum ini, JKSM menegaskan suami atau bekas suami yang culas membayar nafkah bakal berdepan tindakan sekatan akaun bank.

Tindakan itu selaras pindaan Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan dan diwartakan pada 10 Februari.

Pindaan pada perenggan lima jadual itu memasukkan pematuhan dan penzahiran maklumat bawah hiwalah, iaitu pemindahan hutang daripada penghakiman kepada institusi kewangan kepada pemiutang.

Selain itu, perenggan enam jadual sama berhubung penzahiran maklumat pemilik akaun di institusi kewangan melalui perintah mahkamah, tidak kurang daripada Mahkamah Sesyen turut diperluaskan kepada perintah dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Berikutan pindaan itu, perintah hiwalah dikeluarkan mana-mana peringkat Mahkamah Syariah boleh dilaksanakan institusi kewangan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang berkuat kuasa.


Pengarang :