Melina Gupie, 25, merenung nasibnya setelah rumahnya dilanda banjir ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam pada 25 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Musibah banjir musnahkan persiapan Krismas ibu hamil

SHAH ALAM, 25 DIS: Persiapan sambutan Krismas seorang wanita yang kini hamil tujuh bulan musnah gara-gara rumahnya di Taman Sri Muda dilanda banjir, baru-baru ini.

Melina Gupie, 25, berkata bukan sahaja baju raya dihanyut arus bahkan barangan untuk menyambut kelahiran cahaya mata kedua juga tidak dapat diselamatkan.

Bagaimanapun, anak jati Sarawak itu reda dengan ujian yang berlaku selain bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan sehingga hari ini.

“Baju raya, barang perhiasan rumah termasuk barangan bayi sudah banyak dibeli tetapi semuanya musnah dihanyut banjir. Kecewa sangat tetapi kami reda.

“Sedih memang sedih ditambah pula apabila tiga tahun tidak pulang ke Sibu…tidak dapat rai Krismas bersama keluarga,” katanya ketika ditemui SelangorKini di pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST).

Melina Gupie, 25. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Mengulas sambutan perayaan di PPS, Melina berkata beliau dan suami banyak menerima ucapan daripada mangsa banjir yang lain.

“Walaupun tiada keluarga untuk rai bersama tetapi kami tetap menerima ucapan (Krismas) daripada rakan-rakan di sini yang sama-sama terperangkap,” katanya.

Sementara itu, ditanya berhubung inisiatif Kerajaan Negeri menyumbang RM1,000 kepada mangsa banjir, Melina menarik nafas lega dan berhasrat membelanjakan wang itu membeli keperluan bayi.

“Setakat ini hanya terfikir barang bayi. Terima kasih Kerajaan Selangor memberi bantuan yang sedikit sebanyak meringankan beban,” katanya.

Isnin lalu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah mulai Sabtu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana itu meliputi bantuan sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.


Pengarang :