AGENDA NASIONAL

Mydin halalkan individu pecah masuk pasar raya atas niat kelangsungan hidup

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Pengarah urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) Datuk Dr Ameer Ali Mydin menghalalkan perbuatan sekumpulan individu memecah masuk di premis Mydin Mart ketika banjir besar melanda negeri ini sejak Sabtu lalu.

Beliau amat tersentuh dan simpati dengan insiden bencana banjir teruk itu terutamanya ketika negara masih bergelut dengan wabak Covid-19.

“Sejujurnya, saya tidak menyokong perbuatan mencuri namun dalam keadaan darurat, mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup.

“Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya,” jelasnya.

Kenyataan itu sebagai maklum balas mengenai insiden pecah masuk premis Mydin Mart, Sri Muda, Shah Alam yang tular di media sosial dan media tempatan.

Cawangan Mydin Mart, Sri Muda ditenggelami banjir pada 18 Disember  hingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

– BERNAMA


Pengarang :