Selangorkini
Penduduk membersihkan kediaman selepas dilanda banjir di Padang Jawa, Shah Alam pada 23 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Nadma: Waris mangsa banjir meninggal dunia dapat RM5,000

SHAH ALAM, 23 DIS: Kerajaan akan memberikan sebanyak RM5,000 untuk bantuan pengurusan kematian kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat banjir melalui Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi meringankan beban mereka yang terkesan susulan bencana itu, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata antara syarat kelayakan bantuan itu adalah warganegara dan memiliki kad pengenalan diri (MyKad) yang sah dan mestilah merupakan mangsa ketika bencana banjir itu berlaku.

Mangsa bencana wajib mendaftarkan nama dengan maklumat lengkap menggunakan nama Ketua Isi Rumah (KIR), katanya.

Aminuddin menjelaskan dengan lebih lanjut pendaftaran nama yang sah perlu dilakukan bagi mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Manakala yang tidak berpindah ke PPS perlu mendaftar dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau ketua komuniti atau ketua kampung atau penghulu di tempat masing-masing,” katanya pada sidang media Ops Banjir di Taman Sri Muda di sini, hari ini.

Bagi memudahkan proses permohonan bantuan berkenaan, beliau berkata Nadma dan Kementerian Kewangan telah mengambil langkah seperti menggunakan pendaftaran di PPS sebagai bukti mangsa terjejas banjir tanpa perlu membuat permohonan.

Selain itu, katanya inisiatif BWI yang turut melibatkan bantuan RM1,000 kepada mangsa akan disegerakan peruntukannya kepada kerajaan negeri selaku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sebagai penyaluran Fasa 1 bagi mempercepatkan proses pengagihan bantuan kepada mangsa terjejas.

“Kita akan mempercepatkan saluran itu walaupun maklumat belum dapat lagi, pihak negeri akan memberi estimation (anggaran) 3,000 ke 4,000 (mangsa), dari situ kita akan salur peruntukan sewajarnya.

“Kalau lebih ia akan diguna untuk program akan datang, kalau kurang kita akan tambah kemudian… yang penting verifikasi dan pembayaran untuk penerima dibuat di peringkat daerah, tidak lagi di peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu katanya berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi terdapat tanda-tanda awal berlaku luruan monsun yang dijangka bermula 27 Dis, berpotensi menyebabkan hujan yang berterusan di bahagian barat Sarawak dan timur Sabah.

“Dengan data yang dikongsi ini saya ingin memohon rakan-rakan responder untuk menyusun pasukan masing-masing agar insiden banjir dapat kita kawal dengan sebaiknya.

“Apa-apa maklumat boleh terus disalurkan kepada Nadma dan kita akan memastikan koordinasi dapat kita lakukan daripada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC),” katanya.

Mengenai situasi di Taman Sri Muda, beliau berkata kawasan itu telah beransur kering dan kerja pembersihan pascabanjir telah dimulakan, yang akan diselaras Majlis Bandaraya Shah Alam dan disokong Jabatan Kebajikan Masyarakat.

-BERNAMA


Pengarang :