Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas mendengar hujahan pembelaan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi pada 5 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Najib gagal kemuka bukti baharu, keputusan rayuan kes SRC hari ini

PUTRAJAYA, 8 DIS: Mahkamah Rayuan akan mengumumkan keputusan rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atasnya hari ini selepas beliau didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, seperti yang dijadualkan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan itu sebulat suara selepas menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya.

Dalam penghakimannya, Abdul Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berkata mahkamah berpendapat Najib telah gagal secara kumulatif untuk memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman bahawa bukti baharu diperlukan untuk menegakkan keadilan dalam kes itu.

“Dalam keadaan ini, kami mendapati bukti tambahan tidak diperlukan dalam rayuan ini. Tiada keadaan luar biasa dalam rayuan ini bagi membolehkan mahkamah menerima bukti tambahan.

“Justeru, permohonan ini ditolak. Keputusan bagi rayuan (kes SRC Najib) akan diteruskan esok (hari ini) seperti yang telah ditetapkan,” katanya semasa prosiding itu berlangsung secara dalam talian.

Abdul Karim: Keputusan esok (hari ini) tetap akan diteruskan. Saya nasihatkan Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk hadir ke mahkamah atau mengikuti prosiding melalui aplikasi zoom pada 9 pagi esok.

Muhammad Shafee: Mereka (Najib dan beberapa peguamnya) dilarang memasuki mahkamah kerana mereka merupakan kontak (pesakit Covid-19).

Abdul Karim: Ya, itulah sebabnya saya memberi pilihan untuk prosiding secara dalam talian. Boleh kita kendalikan secara dalam talian?

Muhammad Shafee: Ya.

Difailkan pada 1 Dis lepas, Najib memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan agar keterangan viva voce (lisan) diambil daripada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, Pegawai Penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes SRC dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Najib, 68, berkata beliau membuat permohonan itu susulan siaran akhbar oleh SPRM pada 19 Nov lepas berhubung aset dana 1MDB antaranya dari Singapura yang menyaksikan kerajaan republik itu telah memulangkan sejumlah US$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) milik Datuk Dr Tawfiq Ayman iaitu suami bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Pada 23 Nov lepas, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk memutuskan rayuan itu namun pada hari yang sama, Najib telah memohon agar tarikh itu dikosongkan kerana beliau akan berada di Singapura sehingga 5 Dis. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan itu pada hari berikutnya.

Pada prosiding hari ini, Muhammad Shafee berhujah bahawa Najib telah didakwa sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 manakala Zeti dan keluarganya masih disiasat oleh pihak berkuasa.

“Najib didakwa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 sedangkan Zeti dan keluarga, yang mungkin menerima lebih RM42 juta daripada 1MDB, masih disiasat sehingga kini. Ia jelas menunjukkan tindakan berat sebelah terhadap Najib,” katanya sambil menambah pendakwaan telah menyorokkan perkara itu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram pula berhujah permohonan Najib itu, yang dibuat pada saat-saat terakhir, adalah berniat jahat dan tidak mempunyai kaitan dengan rayuan selain tidak terdapat hubungan antara bukti tambahan yang dipohon dengan pertuduhan terhadap Najib.

“Dalam permohonannya, Najib meminta mahkamah membenarkan dan mengarahkan agar keterangan viva voce diambil daripada Azam Baki, Rosli Hussein dan mana-mana saksi yang mempunyai kaitan dengan kes itu. Pembelaan tidak menyebut sebarang nama saksi… mereka akan memanggil saksi yang tidak dinyatakan jumlahnya… Mereka sebenarnya cuba mengadakan perbicaraan semula.

“Dana SRC International berjumlah RM42 juta telah dipindahkan ke akaun perayu, itu tidak ada kena-mengena dengan BNM atau Zeti. Justeru, saya memohon mahkamah agar menolak permohonan ini,” kata Sithambaram.

Pendengaran semalam sepatutnya berlangsung di mahkamah terbuka namun ditukar kepada prosiding secara dalam talian.

Abdul Karim telah memerintahkan peguam Najib agar menghadiri prosiding mahkamah secara dalam talian selepas dimaklumkan bahawa seorang daripada ahli pasukan pembelaan positif Covid-19.

Najib telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 selepas beliau didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

– BERNAMA


Pengarang :