Selangorkini
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah terhadap semua pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd pada 28 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Najib langgar amanah, khianati rakyat isu SRC, kata hakim

PUTRAJAYA, 9 DIS: Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan hanya melanggar amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada beliau malah bertindak mengkhianatinya.

Justeru, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali ke atas Najib iaitu penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd adalah wajar.

“Kami mendapati Hakim Mohd Nazlan dalam menjatuhkan hukuman bagi setiap daripada tujuh pertuduhan yang dihadapi telah menseimbangkannya dengan kepentingan perayu (Najib) serta kesakitan dan penderitaan yang dihadiahkan beliau kepada negara. Najib bukan sekadar melanggar amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada beliau malah bertindak mengkhianatinya.

“Dalam keadaan seperti ini, apabila seorang pemimpin politik penting telah diheret ke mahkamah, disabitkan serta dihukum, kami mendapati ini adalah waktu paling sesuai untuk memetik kata-kata bekas Ketua Hakim Negara Raja Azlan Shah semasa baginda menjadi hakim perbicaraan dalam kes Pendakwa Raya lawan Datuk Harun Idris (bekas Menteri Besar Selangor),” katanya dalam penghakiman bertulis setebal 308 muka surat.

Sebelum menjatuhkan hukuman ke atas Harun, Raja Azlan Shah kata “Saya ulangi apa yang saya katakan sebelum ini iaitu undang-undang tidak pilih kasih. Justeru, adalah mustahil untuk mengabaikan hakikat bahawa anda berada dalam kategori berbeza berbanding mana-mana individu yang pernah saya bicarakan. Adalah mustahil untuk mengabaikan hakikat bahawa di mata berjuta-juta rakyat negara ini, anda adalah seorang patriot dan pemimpin.

“Malah mereka yang berbeza pandangan politik dengan anda memandang anda sebagai seorang yang bercita-cita tinggi. Anda mempunyai setiap peluang untuk menggapai tahap pencapaian tertinggi namun anda membiarkan ketamakan merosakkan diri.

“Agak sukar difahami bagaimana seseorang yang berada dalam kedudukan anda tidak dapat mengenal pasti apa itu rasuah. Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja mengkhianati perjuangan parti anda yang selama ini anda pertahankan, tetapi juga sumpah jawatan anda di hadapan Raja Berdaulat, dan paling utama ialah dari segi undang-undang kerana anda adalah tertakluk di bawahnya,” kata Raja Azlan dalam penghakiman itu.

Semalam, Abdul Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengekalkan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas Najib pada 28 Julai 2020.

Panel itu membuat keputusan tersebut selepas menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terbabit.

Najib, 68, masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan pasukan pembelaan telah memfailkan petisyen rayuan semalam.

-BERNAMA


Pengarang :