Neelofa bersama suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Seremban pada 1 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Neelofa, suami dilepas kes langgar SOP di Nilai

SEREMBAN, 1 DIS: Selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada pertuduhan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Nilai pada Mei lepas.

Majistret Mohd Firdaus Saleh mengeluarkan perintah itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara telah mempertimbangkan representasi yang dikemukakan oleh Noor Neelofa dan suami berhubung pertuduhan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember bagi perintah dilepas dan dibebaskan (DNA) daripada pertuduhan itu.

“Dimaklumkan bahawa representasi tersebut telah dipertimbangkan oleh Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) dan  saya memohon supaya kedua-dua kes ini di DNAA terlebih dahulu bagi membolehkan tindakan lain diambil terhadap kedua-dua OKS (orang kena saman),” kata Nor Azizah.

Pada 21 Oktober lepas, Noor Neelofa dan Muhammad Haris telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara, memohon pertuduhan terhadap mereka berkaitan pelanggaran SOP PKPB tersebut ditarik balik.

Sementara itu, peguam pasangan tersebut, Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah ketika ditemui kemudiannya berkata pihak pendakwaan hari ini menarik balik semua pertuduhan iaitu dua pertuduhan terhadap Muhammad Haris dan satu pertuduhan terhadap Noor Neelofa.

“Satu proses kompaun akan berlaku sama ada hari ini atau esok. Kami akan kembali pada 21 Disember ini supaya DNAA dijadikan DNA (dilepaskan dan dibebaskan).

“Kami gembira, sungguhpun ketiga-tiga pertuduhan ini boleh lawan, mungkin dengan cara senang boleh menang tetapi ia akan berlarutan, keadaan Noor Neelofa yang sedang hamil tidak sesuai untuk kita menjalankan kes ini,” katanya kepada pemberita.

Pasangan itu turut diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Pada 20 Mei lepas, Noor Neelofa dan Muhammad Haris mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua pertuduhan iaitu gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di sebuah kedai karpet di Kawasan Perindustrian Nilai 3.

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

– BERNAMA

 


Pengarang :