Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama wakil guru selepas menyerahkan bantuan kepada sekolah agama rakyat (SAR) berjumlah RM9.3 juta di Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Al-Maarof, Johan Setia, Klang pada 11 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri cari kaedah angkat martabat guru agama ke tahap tinggi

KLANG, 11 DIS: Kerajaan Negeri mencari kaedah bagi mengangkat martabat guru sekolah agama dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) ke tahap lebih tinggi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu bagi memastikan golongan terbabit mampu mengharungi cabaran masa kini dan mendatang.

“Sejak beberapa tahun lepas, saya menekankan konsep pengisian berkualiti yang mampu menahan asakan terkini di depan mata dan telinga.

“Sekarang kita tengah fikirkan untuk dua hingga tiga tahun bagaimana mahu angkat kedudukan guru-guru berkenaan supaya peningkatan (taraf) bukan hanya gaji, elaun dan sumbangan,” katanya berucap pada majlis penyerahan bantuan di Sekolah Kafa Al-Maarof, Johan Setia di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Amirudin menyerahkan cek cura berjumlah RM9.3 juta untuk bantuan infrastruktur kepada 405 Sekolah Agama Rakyat (SAR) negeri ini.

Beliau berkata bantuan tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Negeri supaya pelajar mempunyai akses pendidikan yang kukuh selain pengajaran dan kefahaman jitu terhadap Islam.

“Sejak 2009 lagi, kita menetapkan peruntukan sekitar RM6 hingga RM7 juta dan jumlah itu ditingkatkan sebanyak RM24 juta pada 2016 untuk semua jenis sekolah.

“Bantuan dilaksanakan ini tidak lain tidak bukan bagi membentuk generasi masa depan walaupun berdepan pelbagai rintangan luar biasa yang sama sekali di luar jangka,” katanya.


Pengarang :