Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan dalam Dewan Negeri Selangor pada 8 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri hilang RM50 juta lepas kecualikan cukai hiburan

SHAH ALAM, 8 DIS: Kerajaan Selangor kehilangan lebih RM50 juta susulan pengecualian penuh duti hiburan antara Januari hingga September lalu.

Keputusan yang diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memberi kesan kepada hasil negeri, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Terima kasih pada Kinrara (Ng Sze Han) yang menjelaskan tentang cukai hiburan. Sebenarnya negeri hilang lebih RM50 juta, antaranya disebabkan panggung wayang tidak beroperasi.

“Pengurangan tersebut akan memberi kesan kepada kemajuan dan hasil negeri,” katanya pada sesi penggulungan usul perbelanjaan pembangunan 2022 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, Sze Han yang juga EXCO kerajaan tempatan memaklumkan pengecualian penuh duti hiburan selama sembilan bulan dipersetujui negeri pada 24 November tahun lalu.

Beliau berkata Kerajaan Negeri bersetuju mengutip semula cukai itu mulai 1 Oktober dan menyelaras bayaran untuk tahun depan dengan mengambil kira jumlah yang dibuat tahun ini.

Pada 2 Februari, Kerajaan Selangor mengecualikan duti hiburan bagi bayaran masuk ke taman tema seluruh negeri berkuat kuasa 18 Mac 2020 hingga 31 Disember tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah dengan kesan kewangan sebanyak RM26.35 juta bagi meringankan beban pengusaha sektor berkenaan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Cukai itu juga dikurangkan dari 25 kepada lima peratus selama lima tahun mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dengan dampak kewangan RM21.04 juta setahun.


Pengarang :