EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail melihat hasil tanaman badan pengerusi bersama (JMB) Pangsapuri Sri Bakawali, juara Anugerah Laman Hijau Strata Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Midland, Shah Alam pada 5 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Negeri sedia program bantu pengurusan pangsapuri tingkat pendapatan

SHAH ALAM, 6 DIS: Kerajaan Negeri memperkenalkan program yang dapat membantu meningkatkan sumber kewangan badan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri terutama kos rendah dan sederhana rendah.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian mewakili EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata program tersebut adalah kebun komuniti atau Laman Hijau Strata, K Inovasi Pusat Kitar Strata dan Mobilisasi Ekonomi Komuniti Bandar Selangor.


Hee Loy Sian menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 6 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Program memberdayakan ekonomi ini dapat memberi impak positif kepada pendapatan komuniti pangsapuri dan badan pengurusan untuk menampung perbelanjaan penyelenggaraan pangsapuri.

“Misalnya, penglibatan komuniti dalam projek Laman Hijau Strata melalui penjualan hasil pertanian dan Pusat Kitar Strata secara pemberian kupon kepada pemilik yang boleh dikontra dengan pembayaran caj,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Taman Templer Sany Hamzan mengenai usaha Kerajaan Negeri bagi membantu JMB yang bermasalah dari segi kewangan dalam menguruskan pentadbiran pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut Loy Sian sistem Laporan Kewangan Pangsapuri di Selangor (E-COB) juga dibangunkan khusus untuk membantu JMB menyediakan laporan kewangan dan perbelanjaan pangsapuri secara digital.

“Usaha ini bagi membantu jawatankuasa JMB menentukan perbelanjaan yang penting sahaja mengikut kemampuan kewangan selain dipantau secara terus oleh COB mengikut kawasan,” katanya.

Beliau berkata Kursus Pemantapan Pengurusan Bangunan Dan Kediaman Berstrata (C-Smart) turut dilaksana bagi memantapkan jawatankuasa JMB berhubung pengurusan kewangan dan selenggara pangsapuri.


Pengarang :