Penumpang pesawat Singapore Airlines SQ108 dari Singapura lengkap pakaian pelindung diri menunggu giliran untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara pada 29 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Omicron: Laluan lengkap vaksin Malaysia-Singapura ditangguh sementara

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura digantung sementara mulai esok hingga 20 Jan 2022, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya, keputusan dibuat dengan mengambil kira laporan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Dis lepas berhubung kejadian satu kluster tempatan Covid-19 yang melibatkan tiga kes positif termasuk kemungkinan varian Omicron.

“Hasil ujian lanjut yang dijalankan mendapati dua daripadanya menunjukkan kemungkinan varian Omicron sementara keputusan bagi lain-lain kes masih lagi belum selesai. Ketiga-tiga kes ini tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi pengembara yang sudah memiliki tiket perjalanan VTL melalui darat dan udara serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif berkenaan.

Menjelas lanjut, beliau berkata inisiatif VTL ini akan dibuka semula pada 21 Jan 2022 selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara.

“Bagaimanapun, kuota tiket yang dijual akan dikurangkan daripada kuota sedia ada,” katanya sambil menambah maklumat lanjut berhubung arahan penggantungan sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif VTL itu boleh dirujuk kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi VTL Udara dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi VTL Darat.

Dalam pada itu, Khairy menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dengan melakukan ujian pengesan Covid-19 kendiri secara berkala.

Pada 29 Nov lepas, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk memulakan inisiatif VTL melalui perjalanan udara dan darat antara kedua-dua negara kepada para pengembara yang menerima dos lengkap vaksin Covid-19.

Melalui kemudahan ini, pengembara tidak perlu menjalani tempoh kuarantin wajib apabila tiba di destinasi, namun masih tertakluk kepada keperluan untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum berlepas dan semasa ketibaan.

-BERNAMA


Pengarang :