Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media di Putrajaya pada 1 Disember 2021. Foto Zoom Kementerian Kesihatan
AGENDANASIONAL

Omicron: Tangguh sementara kemasukan pelajar antarabangsa, pekerja asing

PUTRAJAYA, 1 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan beberapa langkah menyekat penularan varian Omicron antaranya menangguhkan sementara kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara-negara yang mempunyai kaitan dengan varian baharu itu. 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementerian turut melakukan sekatan perjalanan sementara ke atas lapan negara dengan Malawi menjadi yang terkini dalam senarai tersebut susulan penularan varian berkenaan.

Beliau berkata pada 26 November lepas, KKM menyenaraikan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe dalam senarai sekatan perjalanan sementara.

“Hari ini Malawi tersenarai menjadikan jumlah negara terkini dalam senarai sekatan perjalanan adalah sebanyak lapan negara,” katanya pada sidang media perkembangan semasa varian Omicron dan Covid-19 di Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata sebanyak 20 negara sudah melaporkan pengesanan varian Omicron setakat semalam dan 203 daripada 215 kes varian itu telah dilaporkan dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

“KKM akan menyediakan senarai negara yang melaporkan kes varian Omicron atau berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan varian baharu itu secara harian untuk diedarkan kepada Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Imigresen melalui Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada langkah-langkah kawalan serta pencegahan varian Omicron yang telah dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 semalam.

Khairy berkata kerajaan juga menangguhkan perancangan untuk mewujudkan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan negara yang dikenal pasti melaporkan penularan varian Omicron sehingga gambaran lebih jelas diperoleh mengenai varian itu di peringkat global.

Beliau berkata pengembara yang menyertai VTL udara dan darat Malaysia-Singapura digalakkan untuk melakukan ujian pengesanan Covid-19 kendiri pada hari ketiga dan ketujuh selepas ketibaan.

Selain itu, Khairy berkata pelancong dari negara yang melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi tidak dibenarkan menyertai program gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi, Kedah.

“Warganegara Malaysia (penduduk Langkawi) yang pulang dari negara melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan Omicron dibenarkan memasuki Malaysia melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin khas.

“Pelancong asing yang disahkan positif COVID-19 varian Omicron akan diisolasi di hospital swasta dan perlu menanggung sendiri kos rawatan,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :