Orang ramai mengunjungi Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark, Subang pada 27 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pakar ekonomi: Inisiatif industri aeroangkasa langkah tepat majukan negeri

SHAH ALAM, 15 DIS: Langkah Kerajaan Negeri mewujudkan pelbagai inisiatif dalam industri aeroangkasa adalah langkah bijak ke arah kesinambungan ekonomi negeri.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelaksanaan pelbagai program termasuk industri tersebut mampu menarik minat pelabur sekali gus membawa aspirasi negeri ini.

“Kita perlu menarik mereka untuk melabur dengan negara ini, membuka kilang dan akhirnya memberi peluang dengan mewujudkan proses pertukaran teknologi.

“Apabila membentangkan berkaitan aeroangkasa ini menunjukkan Kerajaan Negeri bersedia dan penganjuran Pameran Udara Selangor (SAS) membantu membaiki kedudukan dalam industri ini,” katanya pada program Table Talk secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV baru-baru ini.

Menerusi pembentangan Belanjawan #Selangor2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan program kepintaran buatan dan pembangunan dron serta ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan penerbangan di Universiti Selangor (Unisel).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan memberi nafas baharu dengan menubuhkan Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn. Bhd. (Selati), Pusat Kecemerlangan Selati Unisel dan Sekolah Penerbangan Selati-Unisel selain mewujudkan rangka kerja kemahiran serta kerjaya Selangor bagi industri aeroangkasa.

Beliau berkata usaha itu bakal mewujudkan peluang pelaburan baharu bagi syarikat pembekal aeroangkasa, kepintaran buatan (AI) dan pembangunan dron di Unisel, Bestari Jaya.

Selain itu, SAS yang julung kali dianjurkan tahun ini juga akan diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM5 juta selain menghimpunkan pemain aeroangkasa dan penerbangan terbaik di dunia.


Pengarang :