Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pembentangan Belanjawan #Selangor2022 di Dewan Negeri Selangor pada 26 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pakar ekonomi sifatkan Belanjawan Selangor 2022 komprehensif

SHAH ALAM, 15 DIS: Pakar ekonomi menyifatkan Belanjawan Selangor 2022 sebagai komprehensif kerana memberi tumpuan kepada semua pihak termasuk golongan berpendapatan rendah (B40).

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd berkata Kerajaan Negeri memfokuskan golongan B40 dan individu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 supaya ekonomi mereka terus bertahan.

“Contohnya program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), Kerajaan Negeri membantu golongan B40 menerima bantuan RM300. Bukan itu sahaja, belanjawan juga menyediakan geran-geran perniagaan dan pembiayaan mikro kepada golongan yang terkesan.

“Ini membuktikan Kerajaan Negeri bukan hanya memberi bantuan malah memberi ruang kepada golongan terkesan menaik taraf kehidupan dan menambah pendapatan dengan menyediakan platform perniagaan,” kata Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata demikian pada program Table Talk secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV baru-baru ini.

Pada 26 November lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan 2022 mengumumkan pembayaran RM300 sebulan kepada 30,000 keluarga B40 bermula Februari tahun depan menerusi Bingkas.

Peruntukan RM108 juta disediakan bagi meringankan beban keluarga termasuk ibu tunggal untuk membeli barang keperluan rumah, membayar yuran dan pendidikan anak.

Kerajaan Negeri juga memperuntuk RM2 juta menerusi Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) bagi membantu peniaga kecil negeri ini meningkatkan hasil jualan.

Dalam pada itu, Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang ditubuhkan enam tahun lepas akan menambah baik kemudahan pembiayaan bagi membantu usahawan dengan melibatkan beberapa aspek antaranya pembiayaan, skim baharu, tawaran pinjaman serta pengurangan pinjaman.


Pengarang :