Anggota Jabatan Pertahanan Awam membawa keluar penduduk yang terkandas susulan banjir melanda di Kampung Serai, Hulu Langat pada 19 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pakar: Tekanan rendah di tengah Semenanjung punca curahan hujan empat kali ganda

SHAH ALAM, 19 DIS: Curahan hujan empat kali ganda berbanding biasa ketika ini berpunca daripada tekanan rendah di Semenanjung, kata pakar meteorologi.

Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata situasi itu berbeza jika hanya ribut petir melanda, yang menyebabkan hujan selama beberapa jam sahaja, lapor The Vocket.

Beliau turut menjelaskan hujan lebat bukan turun di Lembah Klang sebaliknya di Banjaran Titiwangsa, mengakibatkan air masuk ke sungai-sungai utama di Selangor.

“Kesannya, sebahagian besar sungai di paras bahaya. Sungai Selangor yang mengalir dari Kuala Kubu Bharu di timur dan masuk ke Selat Melaka di Kuala Selangor di barat pun sudah paras bahaya.

“Lebih buruk, kawasan Klang berdepan air pasang besar. Tidaklah tinggi sangat tetapi air dari darat tidak dapat keluar. Fenomena banjir di Selangor bukan banjir kilat lagi tapi menyamai banjir besar melanda pantai timur pada 2014,” katanya.

Hujan lebat luar biasa sejak kelmarin, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha berkenaan diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.


Pengarang :