Penduduk Taman Perumahan Bandar Seri Ehsan Banting terpaksa menaiki lori hantu atau lori pasir untuk keluar susulan jalan utama yang dinaiki air hingga menyebabkan terputus hubungan dan bekalan makanan serta rantaian telekomunikasi sejak Ahad lalu ketika tinjauan di sini pada 22 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Paras air dua meter, penduduk Bandar Seri Ehsan naik lori pasir selamatkan diri

BANTING, 23 DIS: Beberapa lori pasir yang dipinjam dari sebuah syarikat pemaju lebuh raya diibaratkan sebagai ‘penyambung nyawa’ kepada penduduk Bandar Seri Ehsan yang terputus hubungan apabila satu-satunya jalan keluar masuk ke kawasan itu dinaiki air banjir sejak pagi Ahad.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Seri Ehsan (PPBSE) Ahmad Kamal Miswan, 51, berkata jalan tersebut hanya dapat dilalui kenderaan pacuan empat roda atau lori selepas laluan berkenaan dinaiki air setinggi dua meter.

Katanya, kehidupan 3,500 orang daripada 1,200 keluarga penduduk perumahan berkenaan juga terjejas apabila bekalan elektrik dan jaringan telekomunikasi terputus.

“Kami terdetik untuk menggunakan khidmat lori pasir ini kerana kami nampak ada projek pembinaan lebuh raya berdekatan dan seorang daripada penduduk taman ini bertanya kepada pemaju sama ada boleh membekalkan lori pasir untuk menolong kami untuk keluar dan masuk serta membeli barang makanan dan keperluan lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di sini semalam.

Beliau berkata pemaju bersetuju memberi kebenaran kepada penduduk menggunakan beberapa lori pasir dari 8 pagi hingga 5 petang secara percuma, namun jika melebihi tempoh tersebut penduduk perlu memberi bayaran kerja lebih masa (OT) kepada pemandu lori.

Ahmad Kamal berkata perkhidmatan lori tersebut bagaimanapun telah tamat pada semalam.

Beliau berkata ketika kawasan tersebut terputus bekalan elektrik pada Ahad, penduduk hanya bergantung sepenuhnya kepada lilin sebelum Angkatan Pertahanan Awam (APM) membawa set penjana semalam.

Pegawai Operasi PPS, Leftenan (PA) Kang Wei Xian berkata sejak semalam, 20 anggota APM menyelaras sepenuhnya operasi pusat itu yang menumpukan urusan bekalan makanan dan perubatan untuk penduduk.

“Setakat ini, sebuah lori tiga tan dan dua set penjana digunakan APM manakala pintu masuk laluan itu dikawal pasukan keselamatan lain,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :