Petugas KDEBWM membersihkan longgokan sampah pascabanjir sekitar Klang pada 24 Disember 2021. Foto Twitter KDEBWM
AGENDANASIONAL

Pascabanjir: Lebih 20,000 tan sampah pukal sudah dikutip

SHAH ALAM, 31 DIS: Dianggarkan lebih 20,000 tan sampah pukal telah dikutip setakat ini dengan jumlah kutipan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sahaja sudah mencecah 13,000 tan.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau amat berpuas hati dengan kutipan sampah oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi memastikan proses pembersihan pascabanjir dapat diselesaikan cepat.

“Sebelum ini sudah lebih 13,000 tan dan sekarang saya rasa angkanya sudah lebih 20,000 tan…setakat ini kita telah guna RM6 juta daripada RM10 juta yang diperuntukan bagi tujuan ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Kerja kutipan sampah di kawasan Shah Alam. Foto Twitter KDEBWM

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada beberapa pihak korporat menerusi Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Jelas Amirudin, jumlah kutipan akan terus meningkat dengan rekod lebih 3,700 tan sampah berjaya diuruskan pihak KDEBWM semalam iaitu angka yang tertinggi dan mungkin lebih 4,000 tan sehari pada masa akan datang.

Sehingga semalam, kerja pembersihan bermula pada 25 Disember mencapai 40 peratus dan bakinya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Kerja-kerja pembersihan pascabanjir giat dilaksanakan di Kampung Lombong, Shah Alam pada 24 Disember 2021. Foto Facebook MBSA

Pengarang :