Pasukan MBSA A menjadi johan kategori tarik tali pantai Kejohanan Sukan Pantai MBSA 2021 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam pada 12 Disember bertempat di Dewan Besar Tanjung MBSA Seksyen 19, Shah Alam. Foto MBSA
PBT SELANGOR

Pasukan MBSA A johan tarik tali pantai, bawa pulang wang tunai RM2,000

SHAH ALAM, 13 DIS: Pasukan MBSA A menggunguli acara tarik tali pantai dalam Kejohanan Sukan Pantai 2021 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.

Berlangsung di Dewan Besar Tanjung MBSA Seksyen 19, kemenangan itu melayakkan pasukan MBSA A menerima hadiah wang tunai RM2,000.

Menurut ketua bahagian korporat dan perhubungan awam MBSA, tempat kedua dimenangi pasukan DBKL yang menerima hadiah wang tunai RM1,000, tempat ketiga milik Shah Alam City Boy menerima wang tunai RM700.

“Tempat keempat jatuh kepada pasukan Penjara Sungai Buluh. Hadiah disampaikan Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haji Zamani Ahmad Mansor,”kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Tambah beliau, kejohanan diadakan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat khususnya komuniti di Shah Alam pasca pandemik Covid-19.

“Pertandingan ini juga memberikan peluang kepada semua golongan khususnya orang muda untuk bergiat aktif dalam aktiviti sukan,”katanya.

Pada masa yang sama, pertandingan sepak takraw pantai yang melibatkan 16 pasukan turut diadakan.

Pasukan Ezy Sepak Takraw Club memenangi tempat pertama dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000. Manakala, pasukan MBSA B memenangi tempat kedua dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.

Pasukan MBSA A memenangi tempat ketiga dan pasukan Jebat TKP tempat keempat. Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500.


Pengarang :