Kakitangan MPS bersama sukarelawan membersihkan kediaman penduduk di Kampung Lanchong, Subang Jaya
AGENDANASIONAL

PBT bersihkan kediaman penduduk, buang sampah di jalan utama

SHAH ALAM, 22 DIS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bertungkus-lumus membantu penduduk setempat membersihkan kediaman yang terkesan akibat banjir pada Sabtu.

Kerja pembersihan bermula semalam antaranya melibatkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Kampung Batu 10 Cheras, Batu 23 Sungai Lui, Taman Sri Nanding dan Kampung Sungai Serai.

Kawasan lain termasuk Jalan 13 hingga 16 di Taman Sri Tanjung, beberapa jalan di Kampung Pasir serta Masjid Ar-Rahman Kampung Sungai Lui, dengan dibantu oleh sukarelawan.

Selain mengalihkan barang yang rosak dan musnah, PBT berkenaan turut membersihkan sampah di sepanjang jalan utama di Hulu Langat bagi mengelakkan gangguan lalu lintas.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membuat pembaikan sementara di kawasan tanah runtuh di Jalan Puri 1/3, Desa Aman Puri, Kepong; Taman AmanSiara dan Taman Sri Putera.

MPS juga meneruskan misi bantuan banjir dengan menghantar sukarelawan, lori tangki pembersihan, jentera pengaut dan kenderaan pacuan empat roda bagi membersihkan Kampung Lanchong, Subang Jaya.

Bantuan turut dihantar ke sekitar kawasan Seksyen 19 Shah Alam, yang turut disertai Timbalan Yang Dipertua MPS Cheremi Tarman dan sukarelawan.

Selain itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya bersama sukarelawan membantu Majlis Bandaraya Shah Alam membersihkan Jalan Pikolo 33/14, Seksyen 33, Taman Alam Indah hari ini.

Kakitangan MPKj membersihkan sampah banjir di sepanjang Jalan Hulu Langat

 

Kakitangan MPKj membersihkan kediaman di sekitar Taman Sri Nanding dan Kampung Seri Serai

 

Kakitangan MPS membersihkan kawasan banjir di Seksyen U19, Shah Alam

 

Sukarelawan dan kakitangan MBPJ membersihkan Jalan Pikolo 33/14, Seksyen 33, Taman Alam Indah

Pengarang :