Selangorkini
Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhammad (kanan) bersama ahlinya bergotong royong pada program pembersihan dengan kerjasama Team Selangor dan Puspanita Shah Alam di Kampung Lombong, Shah Alam pada 26 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Pekawanis peruntuk lebih RM100,000 bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 26 DIS: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk RM107,500 bagi membantu mangsa terjejas banjir di negeri ini.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata bantuan itu antaranya makanan asas, kain batik, kain pelikat, telekung, tuala wanita, lampin bayi dan susu.

“Kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa dalam meneruskan kehidupan selepas diuji sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Lombong di sini hari ini.

Program dengan kerjasama Team Selangor serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Shah Alam itu bagi membersihkan rumah dan kawasan persekitaran kediaman di kampung terbabit.

Menurut Masdiana, program julung kali itu sekali gus menunjukkan rakyat Selangor prihatin dan cakna dengan nasib sesama mereka.

“Alhamdulillah saya tidak jangka ramai juga turun padang dan saling membantu bersihkan kediaman mangsa banjir. Kita akan teruskan lagi inisiatif ini di beberapa kawasan terjejas selepas ini,” katanya.


Pengarang :