Sebelas pekerja kilang memecahkan siling rumah untuk menaiki bumbung ketika banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 18 Disember. Foto ihsan Amirudin Yusof
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pekerja kilang pecahkan siling, empat jam berhujan di bumbung

SHAH ALAM, 22 DIS: Sebelas pekerja kilang terpaksa memecahkan siling untuk menaiki bumbung rumah bagi menyelamat diri dalam kejadian banjir di Taman Sri Muda di sini, Sabtu lalu.

Warga Indonesia Amiruddin Yusof, 45, dan 10 lagi rakan serumah termasuk penduduk tempatan memindahkan barangan ke tingkat dua tetapi paras air meningkat dengan cepat.

“Kami pecahkan siling dan naik ke bumbung pada jam 3 pagi selepas air mula naik ke tingkat dua,” katanya kepada Selangorkini di pusat pemindahan sementara di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Emerald.

Mereka yang sehelai sepinggang terpaksa menahan kesejukan berikutan hujan sebelum diselamatkan anggota bomba sekitar empat jam kemudian.

Bekerja di Malaysia sejak dua tahun lalu, Amirudin terkilan kerana rantai emas yang dibeli untuk isteri di negara asal tidak sempat diselamatkan.

Sementara itu, jurukimpal Muhd Azwan Adnan, 24, bergegas pulang dari tempat kerja di Lanchong Jaya, Puchong kira-kira jam 3 petang pada Sabtu lalu apabila mendapati benteng sungai berdekatan pecah akibat hujan lebat.

“Saya sampai rumah terus beritahu emak dan ayah serta dua adik untuk terus keluar kerana bimbang rumah akan tenggelam.

“Tidak berapa lama kemudian, rumah saya memang habis. Tiada satu pun barang dapat diselamatkan,” katanya.

Pada 19 Disember, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air berkata hujan lebat berterusan dalam tempoh 24 jam sejak Jumaat menyamai taburan purata hujan di Lembah Klang untuk sebulan.

Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang menjelaskan fenomena setiap 100 tahun sekali susulan faktor luruan monsun dan sistem cuaca tekanan rendah yang mencapai tahap lengkukan tropika di Laut Cina Selatan.


Pengarang :