AGENDANASIONAL

Pelabuhan Klang dijangka capai rekod terbaik kendali kontena

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Pelabuhan Klang dijangka merekodkan pengendalian kontena sebanyak 13.8 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) sehingga akhir tahun ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Wee Ka Siong berkata setakat 30 Nov 2021, pengendalian kontena di pelabuhan tersebut adalah 12.69 juta TEU.

“Saya yakin dengan prestasi ini, dalam masa lebih kurang sebulan sahaja lagi, kita pasti akan mencapai rekod terbaik untuk Pelabuhan Klang, melebihi paras sebelum Covid-19 iaitu 13.6 juta TEU,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Dokumen Seksyen C (Jajaran Utara) ECRL antara MRL dan syarikat China Communications Construction Company Ltd (CCCC) di sini.

Katanya Pelabuhan Klang perlu diperbesarkan lagi supaya mampu bersaing dengan pelabuhan di rantau ini seperti Singapura yang telah memperbesarkan pelabuhannya sehingga dapat menampung kapasiti sebanyak 65 juta TEU setahun.

“Setiap tahun Pelabuhan Klang perlu menambah 1.5 juta TEU untuk menampung penambahan kapasiti kontena, namun ia masih belum mencukupi,” katanya.

Justeru, katanya Kementerian Pengangkutan sedang meninjau untuk menjadikan Pulau Carey sebagai pusat maritim dengan menempatkan pelabuhan ketiga di situ.

“Kita sudah ada pelan induk dan kita berkongsi dengan pihak kerajaan negeri Selangor,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :