Orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan penggalak ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pelajar ambil dos penggalak mahu dicontohi ahli keluarga

SHAH ALAM, 10 DIS: Seorang pelajar mengambil dos penggalak menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Booster kerana mahu menjadi contoh kepada ahli keluarga.

Farah Nabilah Abdul Rahman, 20, berkata setakat ini tiada ahli keluarganya yang mengambil dos penggalak kerana masih lagi ragu-ragu terhadap keberkesanannya.

Farah Nabilah Abdul Rahman

“Harap selepas saya ambil dapat buka mata mereka untuk ambil juga kerana masing-masing sudah lengkap dua dos tetapi masih ragu-ragu berikutan ia bukan diwajibkan,” katanya ketika ditemui di Klinik Selcare di Seksyen 13 di sini.

Farah berkata selain varian Omicron, mungkin terdapat varian jenis lain lagi selepas ini yang mendorong beliau mendapatkan dos penggalak secepat mungkin.

“Bila tengok Twitter Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengenai program ini terus saya daftar,” katanya.

Sementara itu, pengurus sumber manusia Teo Kan Chin, 56, berkata beliau sanggup membatalkan janji temu MySejahtera bagi mendapatkan Sinovac yang ditawarkan di Selvax Booster.

Katanya, beliau bukan memilih sebaliknya Sinovac adalah vaksin yang diterimanya sebelum ini berbanding Pfizer yang ditawarkan MySejahtera.

“Saya tidak mahu ‘campur-campur’ vaksin kerana khuatir berlaku kejadian tidak diingini lebih baik saya kekal dengan satu jenis vaksin sahaja,” katanya.


Pengarang :