Situasi banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Pemandu lori tunda curi kereta mangsa banjir ditahan

SHAH ALAM, 24 DIS: Seorang pemandu lori tunda ditahan semalam selepas disyaki mencuri kereta mangsa banjir di Jalan Persiaran, Seksyen 23 di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata mangsa berusia 26 tahun meletakkan kereta jenis Honda City di kawasan itu dengan keadaan berkunci sejak Sabtu lalu susulan banjir.

“Namun pada 20 Disember (Isnin) sekitar jam 8.45 malam mangsa mendapati keretanya telah berada di atas lori tunda dengan nombor pendaftaran WCX3048 atas nama Syarikat Sparks Motors Rescue Empire.

“Lori tersebut dipandu seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali dengan mendakwa disuruh oleh seorang lelaki menunda kereta milik isterinya ke bengkel,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mangsa kemudian memeriksa kenderaan itu dan mendapati bateri kereta dicabut dan nombor pendaftaran kenderaan bahagian depan serta belakang dipatahkan selain pelekat cukai jalan turut hilang.

Katanya, mangsa tampil membuat laporan kelmarin selepas dihubungi oleh polis susulan hantarannya tular di media sosial.


Pengarang :