Treler terbabit dalam kemalangan meragut 10 nyawa termasuk sembilan beranak di Kilometer 8.3 Lebuhraya Elite, tengah malam tadi. Foto Facebook Bernama
SELANGOR

Pemandu treler mengaku tidak bersalah sebabkan nahas ragut 10 nyawa

SHAH ALAM, 21 DIS: Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memandu dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 10 individu termasuk sembilan sekeluarga di KM 8.3 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Sabtu lepas.

Tertuduh Mohd Rafi Jaafar, 37, yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua 10 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Mohd Rafi didakwa memandu kenderaan lori jenis treler dengan cara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kemalangan seterusnya kematian Norul Naziah Buyong, 37; dan lapan anaknya Mohd Razarul Amin Abdul Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Mohd Aizat Syazwan, 10; Mohd Rokaizat Rezky, 9; Mohd Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi, 10 bulan, serta seorang mekanik Mohamad Rahimi Rolex, 27 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 12.02 tengah malam, 18 Dis lepas di KM 8.3 Lebuhraya Elite dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Shah Alam, di Subang Jaya, Petaling.

Pertuduhan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000.

Kes dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Raya Selangor Mohammad Al-Saufi Hashim bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah dan Saidah Fasihah Che Yussoff.

Ketika prosiding, Mohammad Al-Saufi berkata pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh kerana ia merupakan kes yang tidak boleh dijamin, namun jika mahkamah ingin membenarkan jaminan, pihaknya memohon agar jumlah RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan seorang penjamin.

“Kami juga mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu lesen memandunya ditahan oleh mahkamah dan dia tidak mengganggu saksi kes ini. Peristiwa ini sangat menyayat hati, kerana ia mengorbankan seorang lelaki, seorang ibu dan lapan anaknya malah kejadian berlaku ketika Selangor diuji dengan kejadian banjir besar,” katanya.

Mohd Rafi merayu agar diberi jumlah jaminan pada kadar yang rendah kerana dia perlu menanggung tiga anak dan isteri yang tidak bekerja dan seorang daripada mereka sedang dirawat di Hospital Melaka.

Nur Faizah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh dikenakan syarat tambahan sebagaimana yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali seterusnya menetapkan 26 Jan 2022 untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

-BERNAMA


Pengarang :