Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Selangor Abdul Razak Mohd Yusof ketika sesi bual bicara e-sukan pada Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 12 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peminat e-sukan telefon pintar disaran amal rehat 20 saat

SHAH ALAM, 12 DIS: Individu yang bermain permainan video elektronik khususnya menerusi telefon pintar dinasihat mengamalkan Sistem 2020.

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Selangor berkata sistem menggunakan kaedah 20 minit bermain dan 20 saat berehat bertujuan menjaga kesihatan tubuh badan.

“Sistem 2020 ini adalah kaedah dari e-Sport Medica iaitu kumpulan doktor pakar yang membuat kajian dan memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap permainan video.

“20 minit 20 saat ini adalah untuk menjaga mata, saraf, telinga, leher, tulang belakang. Kita perlu jadikan e-sukan ini sebagai bidang yang sihat dan bukan negatif,” kata Abdul Razak Mohd Yusof.

Beliau berkata demikian pada sesi Esport Talk sempena Pesta Buku Selangor 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Beliau menjelaskan tempoh 20 minit bermain 20 saat berehat itu bukan bermaksud boleh dilakukan seharian sebaliknya bagi tempoh tiga jam sahaja.

“Kaedah ini sesuai untuk permainan di telefon pintar sahaja kerana permainan video yang lain ada jarak yang lebih jauh berbanding telefon pintar,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak memuji langkah menjadikan e-sukan sebagai salah satu acara dalam penganjuran pesta buku kali ini kerana secara tidak langsung dapat menarik peminat permainan video turut hadir.

“70 hingga 80 peratus yang datang untuk pertandingan akan masuk ke pameran jualan buku dan pastinya ada antara mereka yang membelinya dan dapat menggalakkan mereka untuk membaca,” katanya.


Pengarang :