Air di Denmark boleh diminum terus dari paip. Foto BERNAMA
AGENSI SELANGOR

Pemulihan bekalan air di tiga wilayah capai 70 peratus

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Status pemulihan bekalan air di beberapa kawasan melibatkan Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur yang terjejas berikutan henti tugas empat loji rawatan air (LRA) mencapai tahap 70 peratus secara keseluruhan setakat 6 petang ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan pecahan peratusan pemulihan bekalan air itu mencapai 100 peratus di Wilayah Petaling, Hulu Langat (78.5 peratus) dan Kuala Lumpur (55.4 peratus).

Air Selangor turut memaklumkan bekalan air telah pulih meliputi 186 kawasan di Hulu Langat, Kuala Lumpur (118) dan Petaling (tiga) selepas LRA Sungai Langat dan LRA Langat 2 beroperasi sepenuhnya, setakat 6 petang ini.

“Bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji ini dijangka pulih sepenuhnya pada 11 malam, esok,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan di LRA Cheras Batu 11 dan jangkaan ia beroperasi sepenuhnya akan diumumkan kelak.

“Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” menurut kenyataan itu.

Henti tugas di kesemua LRA berkenaan disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre dengan melayari www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

-BERNAMA


Pengarang :