Petugas KDEB Waste Management menggunakan jengkaut untuk menggangkut barangan rosak akibat banjir di Padang Jawa, Shah Alam pada 23 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk diminta tidak halang laluan lori KDEBWM angkut sisa banjir

SHAH ALAM, 26 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) meminta kerjasama orang ramai agar tidak menghalang laluan lori sampah yang memasuki kawasan perumahan bagi mengeluarkan sisa pascabanjir.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata kontraktor perlu mempercepatkan proses mengangkut sisa tinggalan tersebut supaya lebih banyak pusingan dapat dilaksanakan di setiap kawasan terjejas.

Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir

“Apabila mangsa pulang ke kediaman masing-masing, sudah tentu mereka akan periksa barang dan asingkan sampah termasuk meletak kenderaan rosak yang ditenggelami air di luar rumah.

“Keadaan ini menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas. Lori Roll On Roll Off (RoRo) tidak dapat masuk, ditambah pula laluan kawasan tersebut sempit sekali gus menyukarkan proses mengangkut sampah,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil memberi sokongan dalam melancarkan kerja berkaitan.

“Banyak pihak bantu kita kali ini, ada lebih 20 PBT luar turut serta dengan membawa segala aset yang ada termasuk barangan keperluan untuk disumbangkan kepada mangsa bencana,” katanya.

Syarikat pengurusan sisa pepejal milik penuh Kerajaan Negeri membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak Ahad lalu secara berperingkat dan menjangka selesai dalam tempoh seminggu lagi.

Selangor turut menerima bantuan daripada PBT negeri lain dan sukarelawan bagi mempercepat urusan pembersihan.


Pengarang :