Seorang pelajar Ahmad Iman Zulkifli menunjukkan simbol pangkah bermaksud ‘tidak’ kepada buli selepas pelancaran Kempen Anti Buli Sekolah-Sekolah Berasrama Peringkat Negeri Pahang pada 28 Februari 2018. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penggerak Belia Selangor lancar kempen perangi buli

SHAH ALAM, 13 DIS: Penggerak Belia Selangor (PeBS) akan mengerakkan kempen perangi buli di sekolah pada tahun depan untuk membantu mencegah kes berkenaan daripada menjadi barah.

Presiden Akmal Halim berkata kempen dalam kalangan pelajar dan belia itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, polis dan agensi lain.

“Kempen ini akan memberi kaunseling awal kepada pelajar dan golongan belia supaya tidak terjebak dengan permasalahan itu.

“Belia adalah pemangkin dasar pembangunan negara, jika isu ini tidak diperangi dengan lebih tersusun mungkin menjadi permasalahan lain ketika mereka berada di luar,” katanya di sini, hari ini.

Isu buli di sekolah kembali hangat diperkatakan berikutan kejadian membabitkan pelajar lelaki tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar baru-baru ini.

Kejadian pada 9 Disember lalu itu tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, sehingga menerima kecaman orang ramai.

Susulan itu, polis menahan 10 pelajar berusia 13 tahun termasuk seorang yang berusia 15 tahun.


Pengarang :