Penulis lirik Hasmi Hashim atau dikenali Buddhi Hekayat (tengah) ketika sesi Bicara Seniman Tentang Akal & Budi pada Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 12 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penulis lirik kongsi rahsia capai kejayaan hidup

SHAH ALAM, 12 DIS: Untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang memerlukan rutin harian yang penuh komited dan berdisiplin, kata penulis lirik Hasmi Hashim.

Hasmi atau lebih dikenali sebagai Buddhi Hekayat berkata perkara yang dilakukan secara berulang kali membantu meningkatkan kecekapan dan kualiti.

“Ini yang saya tengok ya, M Nasir setiap hari dia mencari jalan untuk mencipta lagu, dia ambil masa dua, tiga jam… dengan disiplin begitu bertahun-tahun.

“Jadi kalau nak berjaya dalam sesuatu bidang perlu dilakukan setiap hari. Kalau kita nak jadi penulis, kita kena menulis setiap hari. Begitu juga penyanyi kena menyanyi setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara Seniman Tentang Akal dan Budi sempena Pesta Buku Selangor 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Hasmi yang juga pemenang Anugerah Juara Lagu ke-26 bersama M Nasir menerusi lagu Awan Nano nyanyian Hafiz berkata tanpa komitmen negara juga mungkin tiada pelapis dalam sesuatu bidang.

“Saya amat bimbang kita tiada pelapis baru dalam kalangan komposer, penulis lirik ini. Ramai yang mesej minta ajar tulis lirik… berdasarkan pengalaman penulis tidak lahir di bengkel penulisan. Penulis yang saya kenal seperti arwah Loloq setiap hari duduk kedai kopi menulis.

“Kalau ada komitmen nak menulis lirik bahkan menjadi komposer sepert M Nasir, perlu ada komitmen yang luar biasa setiap hari baru kita boleh lahirkan generasi baru sehebat M Nasir,” katanya.


Pengarang :