Dato’ Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain berucap ketika program Hati Dan Minda Sasterawan di Pesta Buku Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 11 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Perjalanan hidup era penjajah cetus cinta, perjuangan terhadap bahasa Melayu

SHAH ALAM 12 DIS: Sasterawan Negara, Dato’ Baharuddin Zainal mengakui perjalanan hidup yang membesar di era penjajah menjadikan dirinya mencintai dan memperjuangkan bahasa Melayu.

Baharuddin atau nama penanya Baha Zain berkata liku kehidupan pada waktu itu menyebabkan generasinya memperjuangkan bahasa Melayu kerana ia adalah suara kepada kemerdekaan.

“Saya lahir dalam masyarakat yang tertindas waktu kolonial dan sedar bahasa Melayu itu satu perjuangan bukan saya sahaja tetapi boleh dikatakan semua mahasiwa memperjuangkannya.

“Pejuangan terhadap bahasa Melayu bukan sekadar memartabatkannya sahaja tetapi sebagai suara merdeka. Apa makna kita merdeka ekonomi, pentadbiran, politik tetapi bahasa kita tertindas? Tiada makna apa-apa kerana bahasa Melayu bahasa nurani bangsa,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian pada program Hati dan Minda Sasterawan sempena Pesta Buku Selangor 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Baharuddin berkata perjuangan itu amat sebati dalam kalangan penulis khususnya generasi yang sezaman dengannya dan perjuangan itu berterusan sehingga kini walaupun negara sudah mengecapi kemerdekaan.

Antara yang diperjuangkan penerima Anugerah Sastera Negara yang ke-12 ini ialah menjadi pengerak kepada pemansuhan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

“Adalah satu tanggungjawab penulis memperjuangan bahasa Melayu dan saya juga terlibat dengan demonstrasi bagi mempertahankannya.

“Jadi bila ada pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan saya beri surat dan beliau hanya berterima kasih. Esok dan lusa itu beliau umum mansuh PPSMI,” katanya.

 

 


Pengarang :