Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (kanan) menyerahkan tablet dan kad sim Data Internet Selangor kepada lima beradik yatim piatu di Kampung Melayu Subang Tambahan, Shah Alam pada 2 November 2021. Bapa mereka Mohd Nasir Tahal, 46, meninggal dunia akibat Covid-19 pada 11 Ogos dan ibu Ida Haryanie Abdul Razak, 38, pada 7 Oktober selepas 64 hari bertarung nyawa. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Perkemas kaedah salur RM500 kepada anak yatim, elak salah guna

SHAH ALAM, 17 DIS: Pelbagai pihak menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri memberi sumbangan RM500 kepada anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Mereka bagaimanapun berharap kaedah penyaluran bantuan wang tunai wajar diperkemas bagi mengelak disalah guna individu tidak bertanggungjawab.

Dato’ Faridah Omar Shah

Pemilik RAHOMA Darul Fakir Dato’ Faridah Omar Shah berkata Kerajaan Negeri perlu menjelaskan sama ada wang itu disalur terus kepada anak yatim atau penjaga.

“Inisiatif ini sangat bagus dan ia bukti Kerajaan Selangor sentiasa prihatin dengan nasib rakyatnya tetapi bagaimana wang itu disalurkan kita tidak tahu,” katanya kepada SelangorKini.

Faridah turut mencadangkan golongan tersebut diletakkan di rumah jagaan anak yatim yang berdaftar bagi memastikan masa depan mereka lebih terjamin.

“Di mana mereka tinggal selepas ibu bapa meninggal dunia itu yang perlu diberi perhatian kerana belum tentu ada saudara mara mampu jaga terutama jika anak yatim itu mempunyai adik beradik ramai,” katanya.

Jamaluddin Wahab

Sementara itu Pengetua Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras Jamaluddin Wahab berkata keputusan Kerajaan Selangor itu sedikit sebanyak membantu anak yatim membeli keperluan asas.

“Namun, saya mencadangkan lebih baik wujudkan kad seperti kad Kiss (Kasih Ibu Smart Selangor), mudah untuk mereka membeli makanan atau kelengkapan belajar setiap bulan, hanya pergi ke kedai dan tunjuk kad,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan sumbangan kewangan berjumlah RM1.25 juta kepada anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM500 diperuntuk bagi setiap penerima dan dijangka memberi manfaat kepada 2,500 anak yatim di seluruh Selangor.


Pengarang :