KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kuala Lumpur dan Dengkil, hari ini. Foto Facebook Istana Negara
AGENDA NASIONAL

Permaisuri Agong berkenan tinjau situasi banjir di Dengkil

DENGKIL, 19 DIS: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan meninjau situasi mangsa banjir di persekitaran kawasan ini.

Seri Paduka tiba di lokasi banjir pada 5.10 petang sebelum berkenan menaiki bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk meninjau keadaan mangsa yang masih terkandas akibat banjir.

Selepas hampir sejam meluangkan masa menyantuni mangsa banjir, Seri Paduka menitahkan anggota keselamatan untuk membawa keluar mangsa banjir yang masih terkandas dalam rumah mereka dengan secepat mungkin.

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kuala Lumpur dan Dengkil, hari ini. Foto Facebook Istana Negara

Raja Permaisuri Agong diiringi Brig. Jen. Datuk Mohamed Zahari Yahya, yang merupakan Juruiring Tentera Udara Diraja Malaysia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Raja Permaisuri Agong turut berkenan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Rendah Agama Datuk Ahmad Razali.

Dengkil hampir lumpuh setelah dilanda bah sejak semalam dengan paras air masih belum surut sehingga 6 petang tadi.

Berikutan itu, penduduk di kawasan ini diarah meninggalkan rumah masing-masing kerana dikhuatiri paras air terus meningkat ekoran ketidaktentuan cuaca.

Beberapa kawasan perumahan dan kedai dilanda banjir dengan paras air meningkat sehingga paras leher.

Para penduduk Dengkil menggambarkan bencana banjir kali ini adalah yang terburuk sejak 1971. Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Taman Emas, Taman Permata, Taman Baiduri, Taman Kristal, Taman Mutiara dan Taman Desa.

– BERNAMA


Pengarang :