Hee Loy Sian menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 6 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Permatang Kuarza Gombak dicalon Tapak Geopark Kebangsaan

SHAH ALAM, 6 DIS : Permatang Kuarza Gombak dicalonkan sebagai Tapak Geopark Kebangsaan kerana kepelbagaian warisan dan geologi, kata EXCO alam sekitar dan teknologi hijau.

Hee Loy Sian berkata keputusan tersebut mendapat persetujuan dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 29 September lalu.

“Cadangan terperinci berkaitan pengurusan Tapak Geopark ini akan dibentangkan semula oleh PlanMalaysia kepada MMKN yang dijangka Januari tahun depan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong mengenai pemuliharaan Permatang Kuarza Gombak pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurut Loy Sian perunding pakar turut memaklumkan Permatang Kuarza Gombak belum bersedia menjadi Tapak Warisan Dunia (Unesco) sebaliknya berpotensi sebagai Tapak Geopark Kebangsaan.

Katanya, MMKN turut bersetuju mencadangkan 20 tapak di Gombak dan Hulu Langat sebagai Tapak Geopark Kebangsaan yang salah satunya adalah Permatang Kuarza Gombak.

“Penilaian Geopark Gombak-Hulu Langat oleh Panel Pelaksana Geopark Kebangsaan akan diadakan antara April hingga Julai 2022.

“Ini akan diikuti dengan pewartaan Permatang Kuarza Gombak sebagai Tapak Geopark Kebangsaan dalam tahun yang sama,” katanya.

Pada 9 November tahun lalu, Loy Sian berkata Selangor menubuhkan Badan Pengurusan Geopark Gombak dan Hulu Langat sebagai usaha mendapat pengiktirafan Tapak Geopark Kebangsaan.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut berperanan mengumpul maklumat berkaitan 20 kawasan, menyediakan data, melakukan aktiviti promosi dan mengenal pasti agensi berkaitan untuk bekerjasama.

Kawasan tersebut antaranya Permatang Kuarza Gombak Selangor, Tasik Biru Kundang, Batu Kapur Batu Caves, Bukit Tabur, bekas lombong Batu Arang, Granit Bukit Nuang, Granit Bukit Broga, Air Terjun Taman Rimba Komanwel, Air Terjun Sungai Gabai dan Air Terjun Sungai Kanching.


Pengarang :