Borhan Aman Shah menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 9 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peruntuk RM5 juta wujud kampung budaya, jadi pusat rujukan sejarah

SHAH ALAM, 9 DIS: Sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi mewujudkan Kampung Budaya Selangor yang menjadi pusat rujukan sejarah, kebudayaan dan tradisi etnik di negeri ini.

EXCO kebudayaan berkata usaha tersebut yang dicadangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan Selangor 2020 adalah salah satu komponen dalam projek Gerbang Maritim Selangor di tepi Sungai Klang.

“Sebidang tanah seluas 35 ekar di tepi Sungai Klang yang terletak di tengah-tengah bandar Klang dikenal pasti untuk dibangunkan. Sejumlah RM5 juta diperuntuk yang akan meningkatkan elemen tarikan kepada projek tersebut.

“Idea Kampung Budaya Selangor ini selanjutnya dikembangkan dengan cadangan menamakan sebagai Taman Budaya Selangor dengan visi untuk mengubah bahagian Pembangunan Gerbang Maritim Selangor di lot plot No. PT 4443, menjadi hab aktiviti kebudayaan,” katanya.

Borhan Aman Shah menjawab pertanyaan wakil rakyat Kuala Kubu Baharu Lee Kee Hiong mengenai kos dan lokasi pusat kebudayaan Selangor dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau berkata komponen Taman Budaya Selangor meliputi kira-kira 13.26 ekar dan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu zon penampan sungai, jalan dan taman.

“Taman seluas kira-kira sembilan ekar itu akan dibuka kepada orang ramai dengan jalan masuk khusus. Purata panjang taman ini adalah lebih kurang 1.25 kilometer (km),” katanya.

Pada 1 November 2019, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kampung Budaya Selangor bakal dibina di tanah seluas 35 ekar di Bandar Klang.


Pengarang :