Haron Mokhtar bersama karya lukisannya yang dipamer di Galeri Merah Teratak Anak Amas di Sungai Besar. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAPERSONALITIRENCANA

Pesan sultan cetus idea pelukis Haron Mokhtar buka galeri seni tengah sawah

“Haron, kalau hendak buat galeri lukisan, buat di kampung. Jangan di bandar. Majukan kampung”.
Demikian pesan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hampir 20 tahun lalu yang masih segar dalam ingatan pelukis Haron Mokhtar.

Berusia 58 tahun, anak kelahiran Sabak Bernam itu mendirikan Galeri Merah Teratak Anak Amas di tengah sawah, hasil cetusan ilham Baginda.

Pemenang Anugerah Bakat Muda Sezaman dari Balai Seni Lukis Negara pada 1987 pada mulanya meragui adakah idea tersebut boleh berjaya. Terlintas juga rasa khuatir di hatinya adakah ada orang mahu berkunjung galeri seninya di kampung?

Sebaliknya, telahan Baginda tepat. Terletak di Sungai Besar, premis seluas 800 kaki persegi itu menjadikannya unik.

Ada sahaja orang luar bertandang membeli lukisan meski letaknya jauh dari kota.

“Ada yang datang ke sini mengatakan galeri saya berbeza dengan yang lain,” kata bekas guru itu kepada Selangorkini.

Galeri Merah Teratak Anak Amas milik Haron Mokhtar di Sungai Besar menampilkan keunikan tersendiri buat pengunjung.  Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bapa kepada empat anak itu mula mengenali Sultan Sharafuddin secara peribadi ketika masih bergelar Raja Muda Selangor ketika pameran solonya di Galeri Shah Alam pada 1995 yang mempamer 60 lukisan berjudul Siri Kasih Sayang.

Dua tahun kemudian, Sultan Sharafuddin yang juga penaung Galeri Shah Alam menitahkan Haron supaya menghadap.

Koleksi

Baginda tertarik dengan karyanya memaparkan imej rumah tradisional, bangunan lama, suasana kampung, tema yang sering dihasilkan Haron.

Pada 2009, Sultan Sharafuddin meminta beliau menghasilkan 22 lukisan. Karya itu dinamakannya Siri Mengadap Sultan disusuli Siri Dari Kulaan Studio ke Istana Mestika pada 2014.

Sultan Selangor turut berkenan mempamerkan 33 koleksi lukisan kesayangan Baginda termasuk karya Haron di Galeri Prima Balai Berita Jalan Riong, Kuala Lumpur.

Beliau juga mendedahkan lukisan Siri Roti Benggali antara digemari Baginda. Karya itu memaparkan budak lelaki di tangga, menanti penuh sabar benggali jual roti. Kata Baginda kepada Haron, suasana itu seperti diri Baginda suatu waktu dahulu.

Setahu Haron, lebih 300 lukisannya dibeli Baginda. Lukisannya dipamer di istana, bangunan kerajaan dan hotel. Di Hotel Casa Del Rio, Melaka misalnya, 20 lukisan karya Haron yang dibeli Baginda dipamer.

Beliau hanya tahu selepas dihubungi pelanggan yang berminat dengan lukisan di hotel lima bintang itu.
Setakat ini, Haron mengadakan lapan pameran solo di Selangor dan Kuala Lumpur.

Bermula di Galeri Shah Alam pada 1995 dan yang terakhir di tempat sama pada 2018. Pameran terakhir itu dirasmi sendiri Sultan Sharafuddin.

“Saya pernah usulkan sekitar 2015. Jika ada lagi pameran saya berhajat Baginda rasmikan upacara pembukaan. Tuanku setuju.

“Tiga tahun kemudian, Pameran Solo Haron Mokhtar: Kapsul Masa 1988-2018, Baginda mencemar duli menepati janji,” katanya.

Haron minat seni sejak berusia lima tahun tetapi anak kesembilan daripada 12 beradik itu tidak pernah menyangka karyanya mendapat penghargaan istana.

Minat seni mendalam

Apalagi, beliau bukan daripada keluarga senang. Semasa kecil, Haron cemburu dengan rakan yang memiliki rumah cantik dengan tiang kayu berukir. Rumahnya berbeza sama sekali.

“Untuk hilangkan rasa cemburu, setiap pagi saya melukis di tanah. Hendak lukis di kertas, tiada kertas. Saya lukis rumah impian saya. Hari-hari saya bayangkan itulah rumah saya nanti,” katanya.

Ketika berusia tujuh tahun, lukisannya ‘dibeli’ guru dan rakannya. Bukan dengan duit, sebaliknya ditukar dengan kertas putih, untuk Haron melukis lagi. Jika diberi wang, beliau tetap membeli kertas dan pensel.

Minatnya terhadap seni mendalam tetapi ibu bapanya kurang yakin dengan potensi bidang itu. Beliau akur lalu menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Emak ayah tak mahu saya susah. Mereka mahu masa depan jelas. Kemudian, saya jadi guru sepenuh masa di Sarikei, Sarawak pada 1989,” katanya.

Namun, minat Haron tidak pernah luntur. Beliau terus melukis. Kesungguhannya dihargai Baginda yang mengurniakan darjah kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S) pada 2014.


Pengarang :