Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad menyantuni pempamer ketika melawat gerai pada Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 12 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pesta buku: Karya sastera, kanak-kanak genre paling laris

SHAH ALAM, 13 DIS: Karya sastera dan kanak-kanak antara genre buku paling laris dibeli dalam Pesta Buku Selangor 2021, kata Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Datin Paduka Mastura Muhamad berkata kedua-dua genre buku berkenaan laris dijual susulan kebanyakan pengunjung hadir adalah ibu bapa yang membawa anak-anak.

“Selain sastera dan kanak-kanak, antara genre yang menjadi pilihan pengunjung ialah buku motivasi seperti pengurusan dan pembaikan kendiri.

“Penjualan buku pada kali ini seimbang dan pempamer juga berpuas hati kerana jualan mereka mencapai sasaran serta mendapat pulangan,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Mastura memaklumkan jumlah pengunjung pesta buku juga mencapai sasaran walaupun ditutup sementara sehari untuk proses sanitasi.

“Pengunjung yang datang daripada semua golongan termasuk remaja tetapi majoritinya ibu bapa membawa anak-anak. Malah, ada daripada mereka datang sekali lagi membawa ahli keluarga lain bagi mendapatkan buku.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad (tengah) menyampaikan sijil kepada pempamer gerai terbaik pada Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 12 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita gembira apabila ibu bapa membawa anak-anak ke pesta buku kerana usaha ini dapat memupuk minat membaca sejak daripada kecil lagi,” katanya.

Mastura turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan pihak berkuasa tempatan kerana memberi diskaun sewaan dan iklan digital percuma.

Pesta Buku Selangor 2021 diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini berlangsung selama 11 hari sehingga 12 Disember bermula dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan.

Pesta turut menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai daya tarikan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.


Pengarang :