Naura Iffa, 7, (kiri) dan kakaknya Nur Irdina Mohd Izazulzainis, 12, dari Cheras meluangkan masa mengunjungi Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 3 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pesta Buku Selangor rekod 14,000 pengunjung takat hari kelapan

SHAH ALAM, 10 DIS: Pesta Buku Selangor 2021 merekodkan kira-kira 14,000 pengunjung setakat hari kelapan penganjuran.

Pengarah pesta buku Mohamed Fadzli Mohd Fauzi berkata jumlah itu memberangsangkan meskipun ketiadaan rombongan pelajar sekolah seperti kelaziman.

“Setiap hari dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 pengunjung hadir ke pesta ini. Angka ini dinilai berdasarkan cabutan bertuah ditawarkan kepada individu yang membuat pembelian RM30 ke atas.

“Mereka datang bukan sekadar cuci mata tetapi mencari bahan bacaan sekali gus menyokong industri buku yang sudah lama suram akibat pandemik Covid-19,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Beliau berkata buku akademik paling laris dijual secara fizikal dan dalam talian selain bahan bacaan mengikut genre tertentu seperti novel serta komik.

“Walaupun pembukaan sekolah telah dilanjutkan, kita lihat rata-rata ibu bapa membawa anak-anak mereka dan mencari buku akademik.

“Justeru, saya mengajak orang supaya hadir memeriahkan pesta yang berbaki dua hari lagi tetapi diingatkan agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan,” katanya.

Pesta berlangsung 11 hari sehingga 12 Disember bermula dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan.

Pesta turut menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai daya tarikan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.

 


Pengarang :