Penduduk meredah banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pintu air beroperasi semula pagi ini, lancarkan aliran ke sungai

SHAH ALAM, 22 DIS: Pintu air untuk mengawal aliran ke sungai terdekat berfungsi semula awal pagi ini bagi mengurangkan paras banjir di Taman Sri Muda di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan ia beroperasi menggunakan tenaga dan generator daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Semalam Majlis Bandaraya Shah Alam dan tentera kerja keras sampai jam 3 pagi alihkan kenderaan tersadai yang menghalang generator dibawa ke pintu air.

“Dengan pintu air beroperasi, proses penyurutan akan lebih pantas,” maklumnya di Twitter.

Semalam, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata paras banjir di kawasan tersebut surut lebih perlahan berikutan pintu air tersekat.

Kira-kira 80 peratus air banjir berjaya disedut keluar di Taman Sri Muda menggunakan 16 pam air Jabatan Pengairan dan Saliran mulai jam 2 pagi tadi.

Kawasan itu antara yang paling teruk terjejas di Selangor dengan kebanyakan rumah masih dipenuhi air, menurun daripada rekod melebihi enam kaki tinggi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.


Pengarang :