Sebahagian kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bergotong royong memasak pada program Dapur Ehsan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di Seksyen 7 Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKPS gotong-royong sedia bantuan makanan untuk mangsa banjir

SHAH ALAM, 21 DIS: Warga kerja Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bergotong-royong menyediakan 1,500 hingga 2,000 makanan tengah hari untuk diagih kepada mangsa banjir di sekitar bandar raya ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata sebanyak RM3,000 diperuntukkan sehari bagi menjayakan program melalui Dapur Ehsan sehingga situasi banjir pulih sepenuhnya.

Beliau menjelaskan inisiatif tersebut selaras seruan Kerajaan Negeri untuk membantu meringankan beban mangsa terkesan dengan bencana itu sejak Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi bercakap kepada media pada program Dapur Ehsan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di Seksyen 7 Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Untuk permulaan, makanan siap dimasak akan diedarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di pusat pemindahan sementara (PPS) dan lokasi banjir.

“Selain itu, kerjasama akan dijalin dengan agensi persekutuan termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) bagi melancarkan misi bantuan ini,” katanya ditemui di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Beliau berkata bekalan bahan mentah untuk melaksanakan program terbabit diperoleh dari ladang Selangor Fruit Valley (SFV) selain sumbangan barangan penyewa dan pemborong Pasar Borong Selangor.

“Kos pelaksanaan program tidak terlalu tinggi kerana menggunakan produk keluaran sendiri antaranya ayam, daging dan telur,” katanya.


Pengarang :