Mohamad Khairil (kiri) menyampaikan baja kompos kepada wakil rakyat Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof di perkarangan Bangunan Dewan Undangan Negeri pada 7 Disember 2021.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPS perkenal baja kompos harga lebih murah dari pasaran

SHAH ALAM, 8 DIS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memperkenalkan baja kompos dengan tawaran harga lebih murah dan berpatutan berbanding di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata inisiatif itu bagi menggalakkan petani menggunakan baja jenis alam semulajadi.

“Sebagai pengenalan, harga dijual bagi satu tan baja kompos hanya RM500 berbanding di pasaran kira-kira RM1,000 hingga RM2,000.

“Penawaran baja dengan harga yang berpatutan ini sepanjang masa kerana kita mempunyai fasiliti sendiri yang tidak memberi kesan kepada keadaan harga semasa,”katanya ditemui pada majlis pelancaran kempen jualan Baja Organik Ehsan di pekarangan Dewan Undangan Negeri Selangor.

Tambah Mohamad Khairil, penggunaan baja kompos ini digalakkan kerana kualitinya yang bermutu tinggi dan sesuai untuk semua tanaman sama ada sayur, bunga dan kelapa sawit.

“Kita telah mencubanya pada semua produk dan berhasil. Malah, penggunaan baja ini membolehkan kita memberikan harga yang murah kepada produk keluaran PKPS,”katanya.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam, EXCO pemodenan pertanian memaklumkan setiap petani di negeri ini akan menerima antara satu hingga dua tan baja kompos bagi meringankan beban menanggung kos pengeluaran tani.

Ir Izham Hashim berkata langkah itu juga menggalakkan petani menggunakan produk tempatan berkualiti tinggi selain mengurangkan pencemaran.


Pengarang :