Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (dua, kanan) menerima Anugerah Emas 2021 daripada EXCO Pelancongan Hee Loy Sian di Hotel New World, Petaling Jaya pada 9 Disember 2021. Foto PKPS
AGENSISELANGOR

PKPS rangkul dua anugerah emas pelancongan, warga kerja diharap terus cemerlang

SHAH ALAM, 10 DIS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memenangi dua kategori utama Anugerah Emas 2021 daripada Majlis Pelancongan Malaysia atas pencapaian dari segi pemasaran dan menyediakan lokasi pelancongan terbaik.

Anak syarikat Kerajaan Negeri itu merangkul Anugerah Pemasaran dan Promosi Agro Terbaik serta Destinasi Pelancongan Agro Terbaik menerusi Selangor Fruit Valley.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata pihaknya berterima kasih di atas pengiktirafan Majlis Pelancongan Malaysia yang diharap dapat membakar semangat warganya untuk terus berkhidmat cemerlang.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi sumber inspirasi kepada warga kerja untuk terus mengorak langkah menjayakan agenda Kerajaan Negeri khususnya menjelang sambutan Jubli Emas PKPS pada tahun depan,” katanya menerusi kenyataan media.

Anugerah disampaikan EXCO Pelancongan Hee Loy Sian kepada Mohamad Khairil pada satu majlis malam tadi.


Pengarang :