Beberapa kenderaan tersadai di bahu jalan susulan limpahan air dari Sungai Damansara mengakibatkan Jalan di Batu 3, Lebuhraya Persekutuan ditenggelami air ketika tinjauan pada 18 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Plus tutup sepenuhnya Plaza Tol Shah Alam susulan banjir

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Plus Malaysia Berhad (Plus) menutup sepenuhnya Plaza Tol Shah Alam dan jalan susur persimpangannya mulai 2 petang tadi akibat banjir susulan hujan lebat sejak 24 jam lepas.

Setakat ini, Plus memaklumkan bahawa satu-satu jalan keluar yang dibuka untuk dilalui ialah di Plaza Tol Subang dan Seafield untuk laluan ke arah selatan dan utara, sementara laluan masuk di Bukit Raja serta laluan Setia Alam ramp ke Shah Alam juga ditutup.

Pemandu yang dapat melalui jalan antara Setia Alam ke Shah Alam dan Subang menghala Shah Alam/Elite dikehendaki membuat pusingan U kecemasan melalui akses sementara yang disediakan oleh Plus.

Ketua Pegawai Operasi Plus Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata kakitangan Plus sedang bekerja untuk menguruskan keadaan dan membantu melancarkan aliran trafik.

“Kami kesal dengan kesulitan yang timbul akibat banjir ini susulan hujan lebat berterusan dalam tempoh 24 jam lepas. Plaza tol Plus akan dibuka semula sebaik sahaja kami mengesahkan ia selamat,” kata Zakaria dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi papan tanda amaran dan arahan pihak berkuasa di lokasi.

Plus juga telah memaklumkan kepada semua pengguna lebuh raya melalui Sistem Pemesejan Berubah (VMS) mengenai penutupan itu dan akan menyebarkan maklumat lanjut sebaik sahaja ada.

Maklumat yang dikemas kini juga akan dimuat naik di laman web Plus www.plus.com.my dan platform media sosial termasuk Facebook dan Twitter Plus Malaysia, katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :