Sebahagian mangsa banjir berehat ketika tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Johan Setia Klang pada 19 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM umum cuti esok untuk mangsa bah, isi rumah dapat bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 19 DIS: Kerajaan bersetuju memberi cuti kecemasan kepada penjawat awam yang terkesan akibat banjir yang kini melanda beberapa negeri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Esok Isnin bermula hari kerja, jadi mereka perlu bekerja walaupun terpaksa berpindah (ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Kita faham kesusahan mereka, maka kerajaan setuju memberi cuti kecemasan akibat bencana ini.

“Kepada kakitangan awam yang terkesan akibat banjir, bila masuk kerja semula, bolehlah berbincang dengan ketua jabatan masing-masing untuk menentukan (cuti), saya harap bila dah balik rumah, selesaikan cuci rumah dan sebagainya, bolehlah bekerja semula. Untuk setakat ini, kita bagi cuti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan banjir di sini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menyeru majikan-majikan swasta supaya mengambil inisiatif sama sebagaimana dilakukan oleh kerajaan dengan memberikan cuti kecemasan kepada pekerja mereka yang terkesan akibat banjir.

“Kalau mereka setuju beri (cuti), dua perkara kita syaratkan iaitu tidak boleh ditolak daripada cuti tahunan dan tidak boleh dipotong gaji…kalau cutinya lima hari, tak boleh potong gaji, (ia) cuti berbayar,” kata beliau.

Selain itu, kerajaan turut bersetuju menyediakan peruntukan awal sebanyak RM100 juta untuk pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur lain.

Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir.

“Seperti sedia maklum, kerajaan pada September 2021 telah meningkatkan kadar bantuan wang ihsan iaitu RM1,000 bagi setiap isi rumah, dan kita akan mempercepatkan bayaran kepada kawasan terlibat banjir seperti Selangor dan enam negeri yang lain,” kata beliau.

Penduduk kampung meredah air yang kelihatan semakin surut selepas kawasan perumahan mereka
dilanda banjir akibat hujan lebat yang berterusan ketika tinjauan di SC Kampung Jalan Kebun Shah Alam pada 19 Disember 2021. Foto BERNAMA

Dalam masa sama, Ismail Sabri berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan dan syarikat berkaitan kerajaan(GLC) telah bersetuju untuk menyalurkan sumbangan secara geran padanan bersama-sama dengan pihak kerajaan.

Pada peringkat awal ini, masing-masing bersetuju untuk menyediakan peruntukan RM20 juta, kata perdana menteri.

“Maknanya kalau RM20 juta (masing-masing dari kerajaan dan GLIC/GLC, (keseluruhannya) RM40 juta, kita ada ‘back to back’ geran padanan dari kerajaan dan GLC. Ini adalah antara bantuan yang diberikan secara segera bagi membantu mengurangkan bebanan mangsa-mangsa banjir,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata sehingga hari ini, sebanyak 103 pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan di lapan daerah di seluruh Selangor, yang meningkat daripada 48 PPS semalam.

“Di dalam PPS, semua isu berbangkit seperti ketiadaan makanan akan diselesaikan hari ini…makan malam dan sarapan esok akan disediakan oleh kerajaan negeri Selangor dan bermula esok makan tengah hari disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” kata beliau.

Selain itu, Kementerian Kesihatan akan menyediakan jururawat, doktor serta peralatan perubatan seperti pelitup separuh muka, pensanitasi tangan dan bekalan ubat-ubatan di semua PPS.

“Saringan Covid-19 melalui RTK Antigen juga akan dilakukan di setiap PPS untuk memastikan semua mangsa banjir selamat daripada jangkitan Covid-19,” kata perdana menteri.

-BERNAMA


Pengarang :